Kementerian Pertahanan agih Kurma Kurnia Peribadi Kebawah DYMM





Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





BOLKIAH GARISSON, Rabu, 11 Februari. - Kementerian Pertahanan hari ini mengadakan Majlis Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena dengan ketibaan bulan suci Ramadan 1447 Hijrah / 2026 Masihi.


Hadir bagi menyempurnakan majlis yang berlangsung di Blok Menara, Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.


Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan tazkirah bertajuk 'Cinta-Nya Semanis Kurma' serta Selawat Tafriyjiyyah.


Seterusnya, majlis diteruskan dengan pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Pemerintah Angkatan Bersama, pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatanarah-jabatanarah dan Unit-unit Tentera dan Awam di Kementerian Pertahanan.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Khusus sempena Majlis Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah DYMM, diikuti Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.


Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi berkenaan melambangkan tanda kasih sayang dan keprihatinan Kebawah DYMM terhadap rakyat baginda, serta dilaksanakan setiap tahun menjelang ketibaan bulan suci Ramadan­­­­.


Close